Jumaat, 25 Mac 2011

Rumah Sewa 2

Rumah sewa kedua kami ialah rumah setinggan di Kampung Pasir Lama. Rumah ini berhampiran rumah Maksu Esah. Rumahnya berdinding papan, beratap zink dan sewanya RM140.00 sebulan. Rumahnya terletak di tepi tebing Sungai Kelang. Polanya menurun, dari atas ke bawah tebing. Bahagian atas dijadikan bilik, manakala bahagian bawah dijadikan ruang tamu. Di belakang rumah (atas tebing) merupakan laluan. Rumahnya berhimpitan dengan rumah orang lain. Kampung Pasir Lama sering dilanda banjir. Oleh sebab rumah kami di atas tebing, maka kami selamat daripada banjir. Cuma laluan jalan keluar sahaja yang dinaiki air. 

Pernah sekali rumah itu dilanda ribut. Beberapa zink tercabut, termasuk zink dalam bilik. Air hujan mencurah-curah masuk menimpa almari dan katil dari kayu nyatoh. Sebulan kemudian, dinding bahagian atas almari bengkak. Rupa-rupanya dinding almari diperbuat daripada habuk kayu nyatoh, bukannya papan kayu nyatoh. 

Dengan gaji yang tidak sampai RM1,000, hanya rumah setinggan sahaja yang kami mampu. Lama juga kami tinggal di sini. Kami suka tinggal di rumah ini kerana berselang satu rumah dengan rumah Maksu Esah. Jadi, ada jiran sebagai tempat kami bertandang.