Isnin, 29 November 2010

Jodoh Abah-Mama

Sebelum berakhir tahun pengajian, Abah sering berdoa dalam hati agar diketemukan jodoh segera. Abah bimbang tersasar arah apabila bekerja nanti. Hal ini kerana pada masa itu Abah sudah mempunyai sumber kewangan sendiri. Atau, mungkin Abah dihantar berkhidmat di bandar. Alhamdulillah, doa Abah dikaburkan-Nya. Abah diketemukan dengan seorang gadis. 

Suatu hari Abah menerima surat daripada Mama. Pada masa itu Mama menumpang di rumah emak saudaranya (emak Kak Sila) di Kampung Pasir Lama. Mama bekerja di kilang Omron.

Dalam surat pertamanya, Mama memanggil nama Abah 'abang.' Panggilan itu cukup membekas sehingga timbul rasa cinta di hati. Abah fikir, barangkali hati Mama digerakan oleh Tuhan untuk menghubungi Abah. Almaklumlah, kami tidak pernah berutusan walaupun pernah tinggal berjiran. Abah gembira menerima surat Mama.

Kami pun berjanji temu di Pudu Raya. Malangnya, Abah terlupa menyebabkan Mama tertunggu keseorangan. Kemudiannya, kami sekali lagi berjanji temu, iaitu di Stesen Bas Klang, Kuala Lumpur. Kami sering bertemu di Kuala Lumpur pada hujung minggu. Kami bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur.

Pada pertemuan berikutnya, Abah berkunjung ke rumah Kak Sila.  Dan, pernah juga Abah berkunjung ke rumah bapak saudaranya, Pok Nik, yang bekerja di Port Dikson. Semuanya kerana permintaan Mama dan permintaan emak saudara dan bapak saudara Mama.

Kami berhubung melalui surat sahaja. Abah menerima Mama seadanya dan menganggap Mama adalah anugerah Allah sebagai jodoh Abah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan