Anak ketiga kami peroleh ketika abah sedang belajar di Universiti Malaya. Masa ini abah hantar mama balik ke kampung. Mama menyewa sebuah rumah dengan kadar RM50.00 sebulan. Rumah itu kecil sahaja dan punya satu bilik.
Abah terpaksa hantar mama, Angah dan Kakak ke kampung. Hal ini kerana sepanjang abah belajar, abah tidak boleh beri tumpuan sepenuhnya pada mama. Dan, lebih-lebih lagi kerana gaji abah tinggal sekitar RM600 sebulan. Dengan duit sebanyak itu, abah meneruskan pengajian. Separuh daripadanya abah hantar kepada mama.
Kami menamakan anak ketiga sebagai Muhammad Nur Iqbal. Tentunya, sebagaimana kakak dan Angah, nama itu dipilih khusus dengan harapan juga khusus menjadi orang berjaya.
Iqbal lahir di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. Semasa kecil, mak dapati ada urat leher sebelah kanan Iqbal yang keras. Mak berusaha mendapatkan rawatan melalui klinik swasta, Klinik Sarifah Baginda. Doktor menyarankan agar Iqbal dibawa ke Hospital Besar Jertih bagi dirujuk kepada doktor pakar.
Doktor menyarankan agar Iqbal menjalani rawatan fisioterapi setiap hari atau dua hari sekali.
Sejak hari itu, mama selalu berulang-alik dari Pasir Puteh ke Jertih. Mujurlah Tok Ayah ada Van BBL 5901. Maka berulanglah mama ke Jertih bagi merawat urat leher Iqbal, tanpa kenal penat dan lelah. Belanja minyak sekitar Rm10.00.
Jika Tok Ayah tiada kelapangan, mama akan menaiki bas atau teksi. Begitulah, cekalnya usaha mama bagi memulihkan kecatatan anaknya. Jika tidak dapat rawatan fisioterapi, kemungkinan Iqbal tak boleh memalingkan kepalanya ke kiri atau ke kanan, atau kepalanya senget.
Memang susah hidup mama. Dengan duit separuh itulah nak dibelanjakan dapur bagi makanan kakak dan Angah, tambang kenderaan ke hospital dan sebagainya. Bagi mengatasi sumber kewangan, mama membuat kuih dan menjualnya ke jabatan-jabatan kerajaan.
Nasib baik ada Checik dapat juga menolong mama, sama ada menjaga kakak dan Angah atau menunggang motor bersama mama bagi menghantar kuih.
Berkat ketabahan usaha dan doa mama, semua itu dapat diatasi dan leher Iqbal jadi sempurna sebagaimana orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan