Selasa, 30 November 2010

Rahsia Mama

Antara rumah tempat Abah menumpang sewa ialah di Taman Sri Gedombak. Rumah itu mengadap rumah Nenek. Sekitar setahun Abah tinggal di situ, iaitu dari tahun 1986 - 1987. Masa ini Abah masih menganggur dab mencari wang melalui menulis. Ada kalanya Abah menolong bapa saudara menjual buah tembikai di Pasar Besar Pasir Putih. Pendapatan tentulah tiada dan tidak menentu. 

Rutin Abah ialah menaip (mesin taip) sama ada pagi, petang atau malam.

Abah sering juga bertandang ke rumah Nenek. Biasanya bersama kawan serumah Abah. Kadangkala sekadar berbual-bual sahaja. Ada kalanya Nenek jemput makan nasi.

Walaupun sering ke rumah Nenek, Abah tidak pernah bersua dengan Mama. Yang kerap Abah ketemu ialah Cik Cek, Cik Su dan Awong yang masih kecil. Pandai sungguh Mama menyembunyikan dirinya.

Abah kenal Mama pada hari-hari terakhir Abah tinggal di situ kerana akan melanjutkan pelajaran di Tanjong Malim. Pada hari-hari terakhir itu sempat Abah bergambar kenangan dengan Mama dan adik-adik Mama. Itupun kerana Mama menjelmakan dirinya.

Isnin, 29 November 2010

Pertunangan Mama-Abah

Berbekalkan sekeping gambar Mama, Abah memberitahu Tok agar meminang Mama. Tok tidak banyak mengomen. Dia bersetuju dengan pilihan Abah.

Kami bersetuju untuk urusan merisik dijalankan pada bulan November tahun 1989. Abah minta bantuan Pak Tih dan Pakcik Husin Pajak sebagai orang tengah.

Pada 20 November 1989, Tok, Mak Tih, Pak Tih, Husin Pajak dan Abah berkunjung ke rumah Nenek. Mama tidak pulang kerana tidak mendapat cuti. Abah hanya bawa cincin tanda sahaja.

Mulanya niat merisik sahaja. Tuk-tuk, atas persetujuan dua pihak, pertemuan itu jadi majlis pertunangan. Mereka bersetuju bahawa Abah dan Mama akan dikahwinkan pada cuti persekolahan nanti. Masa ini Abah sudah tahu akan berkhidmat di Kuala Lumpur. Mungkin mereka bimbang bahawa kami akan sering bertemu.

Jodoh Abah-Mama

Sebelum berakhir tahun pengajian, Abah sering berdoa dalam hati agar diketemukan jodoh segera. Abah bimbang tersasar arah apabila bekerja nanti. Hal ini kerana pada masa itu Abah sudah mempunyai sumber kewangan sendiri. Atau, mungkin Abah dihantar berkhidmat di bandar. Alhamdulillah, doa Abah dikaburkan-Nya. Abah diketemukan dengan seorang gadis. 

Suatu hari Abah menerima surat daripada Mama. Pada masa itu Mama menumpang di rumah emak saudaranya (emak Kak Sila) di Kampung Pasir Lama. Mama bekerja di kilang Omron.

Dalam surat pertamanya, Mama memanggil nama Abah 'abang.' Panggilan itu cukup membekas sehingga timbul rasa cinta di hati. Abah fikir, barangkali hati Mama digerakan oleh Tuhan untuk menghubungi Abah. Almaklumlah, kami tidak pernah berutusan walaupun pernah tinggal berjiran. Abah gembira menerima surat Mama.

Kami pun berjanji temu di Pudu Raya. Malangnya, Abah terlupa menyebabkan Mama tertunggu keseorangan. Kemudiannya, kami sekali lagi berjanji temu, iaitu di Stesen Bas Klang, Kuala Lumpur. Kami sering bertemu di Kuala Lumpur pada hujung minggu. Kami bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur.

Pada pertemuan berikutnya, Abah berkunjung ke rumah Kak Sila.  Dan, pernah juga Abah berkunjung ke rumah bapak saudaranya, Pok Nik, yang bekerja di Port Dikson. Semuanya kerana permintaan Mama dan permintaan emak saudara dan bapak saudara Mama.

Kami berhubung melalui surat sahaja. Abah menerima Mama seadanya dan menganggap Mama adalah anugerah Allah sebagai jodoh Abah.

Salam Mama

Mama dan Abah buat blog ini khusus untuk Angah sekeluarga. Dalamnya terkandung budi rasa dan budi fikir Mama dan Abah terhadap Angah dan suami. Sekiranya, suatu masa, Angah membacanya, maka itulah yang terbuku di hati dua insan bernama Mama dan Abah. Kalau ada yang berupa nasihat, anggaplah itu nasihat kami kepada Angah sekeluarga. Sekiranya ada puji-pujian, anggaplah ia datang dari rasa senang hati kami berdua. Kalau ada kemarahan, anggaplah itu rasa kecewa yang lahir dari rasa sayang kami berdua untuk Angah membetulkannya. Kalau kami silap mencatat, kami memohon maaf. Dan, dosa Angah sekeluarga telah lama kami maafkan. Doa kami semoga hidup Angah sekeluarga dirahmati Allah dan mendapat berkat dari-Nya. Amin.