Isnin, 9 Mei 2011

Anak Sulung

Mama mengandung anak sulung sewaktu kami menetap di Kampung Pasir Lama. Sewaktu cuti semester, abah telah hantar mama ke rumah tok di Tok Kah. Sekitar dua bulan lebih mama tinggal di kampung. Abah terpaksa meninggalkan mama di kampung kerana bimbang berlaku kecemasan. Kami tidak mempunyai kenderaan. Ini tentunya menyulitkan.

Lagi pun, apabila mama berada di kampung akan senang mama mendapatkan khidmat kesihatan kandungannya. Mama boleh pergi berurut dengan Mak Su Esah. Di kampung juga ada bidan desa. Di Kuala Lumpur amat sukar mendapatkan khidmat tukang urut.

Semasa di sekolah, abah telah mendapat panggilan mengatakan mama akan bersalin. Malam itu juga abah pulang ke Dungun menaiki bas. Abah pergi ke Hospital Besar Dungun, namun mama tidak ada. Jururawat bertugas memberitahu bahawa mama telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Rupa-rupanya, keadaan mama agak kritikal. Atas nasihat Bidan Klinik Desa, mama dihantar ke Hospital Besar Dungun. Air ketuban telah turun. Malangnya, keadaan bayi menyongsang. Hospital Besar Dungun tiada kemudahan pembedahan. Justeru, mama dihantar ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Anak sulung kami bersalin melalui pembedahan. Nasib baik (atas kuasa Allah) segala-galanya selamat. Sekitar tiga hari abah dan tok berkampung di sini. Nenek (ibu mama), Tok Ayah dan Maktih datang melawat.

Pada hari ketiga, mama dibenarkan keluarga. Abah uruskan hal pendaftaran kelahiran. Kami sepakat menamakan bayi itu, NUR SYUHADA.

Apabila dibenarkan pulang, mama telah dibawa ke rumah kawan Maktih, seorang inspektor polis. Di sinilah uri kakak ditanam. Dari sini kami balik ke Pasir Puteh.