Isnin, 10 Oktober 2011

Anak Ketiga

Anak ketiga kami peroleh ketika abah sedang belajar di Universiti Malaya. Masa ini abah hantar mama balik ke kampung. Mama menyewa sebuah rumah dengan kadar RM50.00 sebulan. Rumah itu kecil sahaja dan punya satu bilik.

Abah terpaksa hantar mama, Angah dan Kakak ke kampung. Hal ini kerana sepanjang abah belajar, abah tidak boleh beri tumpuan sepenuhnya pada mama. Dan, lebih-lebih lagi kerana gaji abah tinggal sekitar RM600 sebulan. Dengan duit sebanyak itu, abah meneruskan pengajian. Separuh daripadanya abah hantar kepada mama.

Kami menamakan anak ketiga sebagai Muhammad Nur Iqbal. Tentunya, sebagaimana kakak dan Angah, nama itu dipilih khusus dengan harapan juga khusus menjadi orang berjaya.

Iqbal lahir di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. Semasa kecil, mak dapati ada urat leher sebelah kanan Iqbal yang keras. Mak berusaha mendapatkan rawatan melalui klinik swasta, Klinik Sarifah Baginda. Doktor menyarankan agar Iqbal dibawa ke Hospital Besar Jertih bagi dirujuk kepada doktor pakar.

Doktor menyarankan agar Iqbal menjalani rawatan fisioterapi setiap hari atau dua hari sekali.

Sejak hari itu, mama selalu berulang-alik dari Pasir Puteh ke Jertih. Mujurlah Tok Ayah ada Van BBL 5901. Maka berulanglah mama ke Jertih bagi merawat urat leher Iqbal, tanpa kenal penat dan lelah. Belanja minyak sekitar Rm10.00.
Jika Tok Ayah tiada kelapangan, mama akan menaiki bas atau teksi. Begitulah, cekalnya usaha mama bagi memulihkan kecatatan anaknya. Jika tidak dapat rawatan fisioterapi, kemungkinan Iqbal tak boleh memalingkan kepalanya ke kiri atau ke kanan, atau kepalanya senget.

Memang susah hidup mama. Dengan duit separuh itulah nak dibelanjakan dapur bagi makanan kakak dan Angah, tambang kenderaan ke hospital dan sebagainya. Bagi mengatasi sumber kewangan, mama membuat kuih dan menjualnya ke jabatan-jabatan kerajaan.

Nasib baik ada Checik dapat juga menolong mama, sama ada menjaga kakak dan Angah atau menunggang motor bersama mama bagi menghantar kuih.

Berkat ketabahan usaha dan doa mama, semua itu dapat diatasi dan leher Iqbal jadi sempurna sebagaimana orang lain.

Rabu, 21 September 2011

Anak Kedua

Pada tahun 1994, abah melanjutkan pelajaran peringkat Sijil Perguruan Khas di IBMMKL, dalam bidang Pengajaran Kesusasteraan dalam Bahasa Melayu, selama setahun. Justeru, banyak masa abah berulang-alik dari Kampung Pasir Lama ke IBMMKL.

Diizinkan Allah, mama telah hamil pada tahun ini. Dan, apabila hampir bersalin, sekali lagi abah hantar mama (dan kakak juga) balik ke kampung. Alasannya ada sama sebagaimana ketika mama akan bersalin anak sulung. Namun kali ini, mama pulang ke Pasir Puteh. Mak dan Tok Ayahlah yang menjadi tempat sandaran menghantar mama ke klinik mahupun ke rumah tukang urut. Lazimnya, mama berurut dengan Mak Su Cikgu di Batu Sebutir, jalan ke Jeram Pasu.

Abah pulang setelah mama hampir bersalin. Mama bersalin anak kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia di kubang kerian. Kali ini mama bersalin dengan mudah tanpa perlu pembedahan.

Setelah tiga hari di hospital, mama dibenarkan keluar dan abah menguruskan pendaftaran. Kami sepakat menamakan anak kedua itu sebagai Nur Syahirah. 

Isnin, 9 Mei 2011

Anak Sulung

Mama mengandung anak sulung sewaktu kami menetap di Kampung Pasir Lama. Sewaktu cuti semester, abah telah hantar mama ke rumah tok di Tok Kah. Sekitar dua bulan lebih mama tinggal di kampung. Abah terpaksa meninggalkan mama di kampung kerana bimbang berlaku kecemasan. Kami tidak mempunyai kenderaan. Ini tentunya menyulitkan.

Lagi pun, apabila mama berada di kampung akan senang mama mendapatkan khidmat kesihatan kandungannya. Mama boleh pergi berurut dengan Mak Su Esah. Di kampung juga ada bidan desa. Di Kuala Lumpur amat sukar mendapatkan khidmat tukang urut.

Semasa di sekolah, abah telah mendapat panggilan mengatakan mama akan bersalin. Malam itu juga abah pulang ke Dungun menaiki bas. Abah pergi ke Hospital Besar Dungun, namun mama tidak ada. Jururawat bertugas memberitahu bahawa mama telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Rupa-rupanya, keadaan mama agak kritikal. Atas nasihat Bidan Klinik Desa, mama dihantar ke Hospital Besar Dungun. Air ketuban telah turun. Malangnya, keadaan bayi menyongsang. Hospital Besar Dungun tiada kemudahan pembedahan. Justeru, mama dihantar ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Anak sulung kami bersalin melalui pembedahan. Nasib baik (atas kuasa Allah) segala-galanya selamat. Sekitar tiga hari abah dan tok berkampung di sini. Nenek (ibu mama), Tok Ayah dan Maktih datang melawat.

Pada hari ketiga, mama dibenarkan keluarga. Abah uruskan hal pendaftaran kelahiran. Kami sepakat menamakan bayi itu, NUR SYUHADA.

Apabila dibenarkan pulang, mama telah dibawa ke rumah kawan Maktih, seorang inspektor polis. Di sinilah uri kakak ditanam. Dari sini kami balik ke Pasir Puteh.

Jumaat, 25 Mac 2011

Rumah Sewa 2

Rumah sewa kedua kami ialah rumah setinggan di Kampung Pasir Lama. Rumah ini berhampiran rumah Maksu Esah. Rumahnya berdinding papan, beratap zink dan sewanya RM140.00 sebulan. Rumahnya terletak di tepi tebing Sungai Kelang. Polanya menurun, dari atas ke bawah tebing. Bahagian atas dijadikan bilik, manakala bahagian bawah dijadikan ruang tamu. Di belakang rumah (atas tebing) merupakan laluan. Rumahnya berhimpitan dengan rumah orang lain. Kampung Pasir Lama sering dilanda banjir. Oleh sebab rumah kami di atas tebing, maka kami selamat daripada banjir. Cuma laluan jalan keluar sahaja yang dinaiki air. 

Pernah sekali rumah itu dilanda ribut. Beberapa zink tercabut, termasuk zink dalam bilik. Air hujan mencurah-curah masuk menimpa almari dan katil dari kayu nyatoh. Sebulan kemudian, dinding bahagian atas almari bengkak. Rupa-rupanya dinding almari diperbuat daripada habuk kayu nyatoh, bukannya papan kayu nyatoh. 

Dengan gaji yang tidak sampai RM1,000, hanya rumah setinggan sahaja yang kami mampu. Lama juga kami tinggal di sini. Kami suka tinggal di rumah ini kerana berselang satu rumah dengan rumah Maksu Esah. Jadi, ada jiran sebagai tempat kami bertandang.           

Rabu, 19 Januari 2011

Rumah Sewa 1

Dari PP ke KL, kami dihantar oleh nenek dengan menaiki van BBL1509. Tidak banyak barang kami bawa. Cukup kelengkap sekadarnya sahaja - batal, pinggan, periuk, gelas, senduk, sudu dan sebagainya.

Rumah sewa pertama kami di hadapan Kampung Pasir Lama. Kami sewa rumah Haji Kupit (gelaran oleh kami) sekitar RM200. Mama dan Maksu yang cari rumah ini.

Rumahnya ada satu bilik sahaja. Tandas berkongsi dengan penghuni rumah Haji Kupit yang lain. Apabila abah pergi kerja, tinggallah mama seorang diri. Walau bagaimanapun, persekitarannya selamat.

Rumah Haji Kupit ini sebenarnya tanah lot. Lot-lot tanah lain telah jadi taman perumahan. Hanya rumah Haji Kupit sahaja yang tinggal. Mungkin dia tidak benarkan tanah lotnya diambil untuk bina taman perumahan. Haji Kupit membina dua lagi rumahnya, bersambungan dengan rumah induk. Rumah yang satu lagi disewa oleh orang bujang berkerja di Yaohan.

Kami tidak lama tinggal di sini. Sekitar setahun sahaja. kemudian kami pindah ke Kampung Pasir lama.

Sabtu, 25 Disember 2010

Perkahwinan

Sekitar 5 atau 6 bulan bertunang, kami melangsungkan penikahan pada 17 Mei 1990. Akad nikah dijalankan di rumah 159 Taman Sri Gedombak pada sebelah malam. Alhamdulillah, sekali jawap sahaja sudah diterima oleh para saksi sebagai sah. Sebelum itu, Tok Imam tersalah sebut nama abah. Abah membetulkannya pada masa itu juga.

Abah menumpang di rumah Maktih, di Blok D, Berek Polis Pasir Puteh. Rumah ini jadi pangkalan untuk majlis kahwin abah. Ramai saudara-mara yang datang. Emak Maktih yang jadi tok andang abah. Dia memakaikan pakaian dan jampi serapah. Wah, abah nampak segak sekali dalam pakaian pengantin.

Sebagaimana adat Melayu, pengantin lelaki juga berarak ke rumah pengantin perempuan. Namun, kami tidak bersanding di tempat ramai. Kami bersanding dalam bilik sahaja.

Selepas habis majlis kenduri, abanh terus pulang ke rumah Maktih. Abah tidak tinggal di rumah mama kerana takut 'dibuli' - disuruh buat itu dan ini. Malam baharu abah datang balik. 

Abah berbual panjang dengan Paknik dan bapa saudara mama sebelah ayah. Sampai larut malam, mata abah sudah menyerah. Merah. Paknik suruh abah masuk tidur. Abah cepat-cepat menyahutnya, bimbang suruhan itu ditarik balik.  

Selasa, 30 November 2010

Rahsia Mama

Antara rumah tempat Abah menumpang sewa ialah di Taman Sri Gedombak. Rumah itu mengadap rumah Nenek. Sekitar setahun Abah tinggal di situ, iaitu dari tahun 1986 - 1987. Masa ini Abah masih menganggur dab mencari wang melalui menulis. Ada kalanya Abah menolong bapa saudara menjual buah tembikai di Pasar Besar Pasir Putih. Pendapatan tentulah tiada dan tidak menentu. 

Rutin Abah ialah menaip (mesin taip) sama ada pagi, petang atau malam.

Abah sering juga bertandang ke rumah Nenek. Biasanya bersama kawan serumah Abah. Kadangkala sekadar berbual-bual sahaja. Ada kalanya Nenek jemput makan nasi.

Walaupun sering ke rumah Nenek, Abah tidak pernah bersua dengan Mama. Yang kerap Abah ketemu ialah Cik Cek, Cik Su dan Awong yang masih kecil. Pandai sungguh Mama menyembunyikan dirinya.

Abah kenal Mama pada hari-hari terakhir Abah tinggal di situ kerana akan melanjutkan pelajaran di Tanjong Malim. Pada hari-hari terakhir itu sempat Abah bergambar kenangan dengan Mama dan adik-adik Mama. Itupun kerana Mama menjelmakan dirinya.