Isnin, 9 Mei 2011

Anak Sulung

Mama mengandung anak sulung sewaktu kami menetap di Kampung Pasir Lama. Sewaktu cuti semester, abah telah hantar mama ke rumah tok di Tok Kah. Sekitar dua bulan lebih mama tinggal di kampung. Abah terpaksa meninggalkan mama di kampung kerana bimbang berlaku kecemasan. Kami tidak mempunyai kenderaan. Ini tentunya menyulitkan.

Lagi pun, apabila mama berada di kampung akan senang mama mendapatkan khidmat kesihatan kandungannya. Mama boleh pergi berurut dengan Mak Su Esah. Di kampung juga ada bidan desa. Di Kuala Lumpur amat sukar mendapatkan khidmat tukang urut.

Semasa di sekolah, abah telah mendapat panggilan mengatakan mama akan bersalin. Malam itu juga abah pulang ke Dungun menaiki bas. Abah pergi ke Hospital Besar Dungun, namun mama tidak ada. Jururawat bertugas memberitahu bahawa mama telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Rupa-rupanya, keadaan mama agak kritikal. Atas nasihat Bidan Klinik Desa, mama dihantar ke Hospital Besar Dungun. Air ketuban telah turun. Malangnya, keadaan bayi menyongsang. Hospital Besar Dungun tiada kemudahan pembedahan. Justeru, mama dihantar ke Hospital Besar Kuala Terengganu.

Anak sulung kami bersalin melalui pembedahan. Nasib baik (atas kuasa Allah) segala-galanya selamat. Sekitar tiga hari abah dan tok berkampung di sini. Nenek (ibu mama), Tok Ayah dan Maktih datang melawat.

Pada hari ketiga, mama dibenarkan keluarga. Abah uruskan hal pendaftaran kelahiran. Kami sepakat menamakan bayi itu, NUR SYUHADA.

Apabila dibenarkan pulang, mama telah dibawa ke rumah kawan Maktih, seorang inspektor polis. Di sinilah uri kakak ditanam. Dari sini kami balik ke Pasir Puteh.

Jumaat, 25 Mac 2011

Rumah Sewa 2

Rumah sewa kedua kami ialah rumah setinggan di Kampung Pasir Lama. Rumah ini berhampiran rumah Maksu Esah. Rumahnya berdinding papan, beratap zink dan sewanya RM140.00 sebulan. Rumahnya terletak di tepi tebing Sungai Kelang. Polanya menurun, dari atas ke bawah tebing. Bahagian atas dijadikan bilik, manakala bahagian bawah dijadikan ruang tamu. Di belakang rumah (atas tebing) merupakan laluan. Rumahnya berhimpitan dengan rumah orang lain. Kampung Pasir Lama sering dilanda banjir. Oleh sebab rumah kami di atas tebing, maka kami selamat daripada banjir. Cuma laluan jalan keluar sahaja yang dinaiki air. 

Pernah sekali rumah itu dilanda ribut. Beberapa zink tercabut, termasuk zink dalam bilik. Air hujan mencurah-curah masuk menimpa almari dan katil dari kayu nyatoh. Sebulan kemudian, dinding bahagian atas almari bengkak. Rupa-rupanya dinding almari diperbuat daripada habuk kayu nyatoh, bukannya papan kayu nyatoh. 

Dengan gaji yang tidak sampai RM1,000, hanya rumah setinggan sahaja yang kami mampu. Lama juga kami tinggal di sini. Kami suka tinggal di rumah ini kerana berselang satu rumah dengan rumah Maksu Esah. Jadi, ada jiran sebagai tempat kami bertandang.           

Rabu, 19 Januari 2011

Rumah Sewa 1

Dari PP ke KL, kami dihantar oleh nenek dengan menaiki van BBL1509. Tidak banyak barang kami bawa. Cukup kelengkap sekadarnya sahaja - batal, pinggan, periuk, gelas, senduk, sudu dan sebagainya.

Rumah sewa pertama kami di hadapan Kampung Pasir Lama. Kami sewa rumah Haji Kupit (gelaran oleh kami) sekitar RM200. Mama dan Maksu yang cari rumah ini.

Rumahnya ada satu bilik sahaja. Tandas berkongsi dengan penghuni rumah Haji Kupit yang lain. Apabila abah pergi kerja, tinggallah mama seorang diri. Walau bagaimanapun, persekitarannya selamat.

Rumah Haji Kupit ini sebenarnya tanah lot. Lot-lot tanah lain telah jadi taman perumahan. Hanya rumah Haji Kupit sahaja yang tinggal. Mungkin dia tidak benarkan tanah lotnya diambil untuk bina taman perumahan. Haji Kupit membina dua lagi rumahnya, bersambungan dengan rumah induk. Rumah yang satu lagi disewa oleh orang bujang berkerja di Yaohan.

Kami tidak lama tinggal di sini. Sekitar setahun sahaja. kemudian kami pindah ke Kampung Pasir lama.

Sabtu, 25 Disember 2010

Perkahwinan

Sekitar 5 atau 6 bulan bertunang, kami melangsungkan penikahan pada 17 Mei 1990. Akad nikah dijalankan di rumah 159 Taman Sri Gedombak pada sebelah malam. Alhamdulillah, sekali jawap sahaja sudah diterima oleh para saksi sebagai sah. Sebelum itu, Tok Imam tersalah sebut nama abah. Abah membetulkannya pada masa itu juga.

Abah menumpang di rumah Maktih, di Blok D, Berek Polis Pasir Puteh. Rumah ini jadi pangkalan untuk majlis kahwin abah. Ramai saudara-mara yang datang. Emak Maktih yang jadi tok andang abah. Dia memakaikan pakaian dan jampi serapah. Wah, abah nampak segak sekali dalam pakaian pengantin.

Sebagaimana adat Melayu, pengantin lelaki juga berarak ke rumah pengantin perempuan. Namun, kami tidak bersanding di tempat ramai. Kami bersanding dalam bilik sahaja.

Selepas habis majlis kenduri, abanh terus pulang ke rumah Maktih. Abah tidak tinggal di rumah mama kerana takut 'dibuli' - disuruh buat itu dan ini. Malam baharu abah datang balik. 

Abah berbual panjang dengan Paknik dan bapa saudara mama sebelah ayah. Sampai larut malam, mata abah sudah menyerah. Merah. Paknik suruh abah masuk tidur. Abah cepat-cepat menyahutnya, bimbang suruhan itu ditarik balik.  

Selasa, 30 November 2010

Rahsia Mama

Antara rumah tempat Abah menumpang sewa ialah di Taman Sri Gedombak. Rumah itu mengadap rumah Nenek. Sekitar setahun Abah tinggal di situ, iaitu dari tahun 1986 - 1987. Masa ini Abah masih menganggur dab mencari wang melalui menulis. Ada kalanya Abah menolong bapa saudara menjual buah tembikai di Pasar Besar Pasir Putih. Pendapatan tentulah tiada dan tidak menentu. 

Rutin Abah ialah menaip (mesin taip) sama ada pagi, petang atau malam.

Abah sering juga bertandang ke rumah Nenek. Biasanya bersama kawan serumah Abah. Kadangkala sekadar berbual-bual sahaja. Ada kalanya Nenek jemput makan nasi.

Walaupun sering ke rumah Nenek, Abah tidak pernah bersua dengan Mama. Yang kerap Abah ketemu ialah Cik Cek, Cik Su dan Awong yang masih kecil. Pandai sungguh Mama menyembunyikan dirinya.

Abah kenal Mama pada hari-hari terakhir Abah tinggal di situ kerana akan melanjutkan pelajaran di Tanjong Malim. Pada hari-hari terakhir itu sempat Abah bergambar kenangan dengan Mama dan adik-adik Mama. Itupun kerana Mama menjelmakan dirinya.

Isnin, 29 November 2010

Pertunangan Mama-Abah

Berbekalkan sekeping gambar Mama, Abah memberitahu Tok agar meminang Mama. Tok tidak banyak mengomen. Dia bersetuju dengan pilihan Abah.

Kami bersetuju untuk urusan merisik dijalankan pada bulan November tahun 1989. Abah minta bantuan Pak Tih dan Pakcik Husin Pajak sebagai orang tengah.

Pada 20 November 1989, Tok, Mak Tih, Pak Tih, Husin Pajak dan Abah berkunjung ke rumah Nenek. Mama tidak pulang kerana tidak mendapat cuti. Abah hanya bawa cincin tanda sahaja.

Mulanya niat merisik sahaja. Tuk-tuk, atas persetujuan dua pihak, pertemuan itu jadi majlis pertunangan. Mereka bersetuju bahawa Abah dan Mama akan dikahwinkan pada cuti persekolahan nanti. Masa ini Abah sudah tahu akan berkhidmat di Kuala Lumpur. Mungkin mereka bimbang bahawa kami akan sering bertemu.

Jodoh Abah-Mama

Sebelum berakhir tahun pengajian, Abah sering berdoa dalam hati agar diketemukan jodoh segera. Abah bimbang tersasar arah apabila bekerja nanti. Hal ini kerana pada masa itu Abah sudah mempunyai sumber kewangan sendiri. Atau, mungkin Abah dihantar berkhidmat di bandar. Alhamdulillah, doa Abah dikaburkan-Nya. Abah diketemukan dengan seorang gadis. 

Suatu hari Abah menerima surat daripada Mama. Pada masa itu Mama menumpang di rumah emak saudaranya (emak Kak Sila) di Kampung Pasir Lama. Mama bekerja di kilang Omron.

Dalam surat pertamanya, Mama memanggil nama Abah 'abang.' Panggilan itu cukup membekas sehingga timbul rasa cinta di hati. Abah fikir, barangkali hati Mama digerakan oleh Tuhan untuk menghubungi Abah. Almaklumlah, kami tidak pernah berutusan walaupun pernah tinggal berjiran. Abah gembira menerima surat Mama.

Kami pun berjanji temu di Pudu Raya. Malangnya, Abah terlupa menyebabkan Mama tertunggu keseorangan. Kemudiannya, kami sekali lagi berjanji temu, iaitu di Stesen Bas Klang, Kuala Lumpur. Kami sering bertemu di Kuala Lumpur pada hujung minggu. Kami bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur.

Pada pertemuan berikutnya, Abah berkunjung ke rumah Kak Sila.  Dan, pernah juga Abah berkunjung ke rumah bapak saudaranya, Pok Nik, yang bekerja di Port Dikson. Semuanya kerana permintaan Mama dan permintaan emak saudara dan bapak saudara Mama.

Kami berhubung melalui surat sahaja. Abah menerima Mama seadanya dan menganggap Mama adalah anugerah Allah sebagai jodoh Abah.